Adakah Yesus mati dan hidup semula?

Apakah kepercayaan orang Kristian?

Alkitab merupakan rekod sejarah yang unggul tentang kehidupan dan ajaran Kristus.

Dalam 1 Korintus 15:3-4 ada tercatat:
Apa yang aku sampaikan kepada kamu adalah apa yang sudah aku terima. Inilah perkara terpenting: Kristus mati kerana dosa kita, sesuai dengan yang tertulis di dalam Alkitab. Hal ini juga tertulis di dalam Alkitab: Dia dikuburkan dan pada hari ketiga Dia dihidupkan semula.

Juga di dalam Matius 28:5-7:
Malaikat itu berkata kepada wanita-wanita itu, "Janganlah takut! Aku tahu bahawa kamu mencari Yesus yang telah disalibkan itu. Dia tidak ada di sini. Dia sudah bangkit seperti yang dikatakan-Nya dahulu. Marilah lihat tempat jenazah Yesus diletakkan. Sekarang, cepatlah pergi dan beritahu pengikut-pengikut-Nya, Dia sudah dibangkitkan daripada kematian, dan sekarang Dia pergi ke Galilea terlebih dahulu daripada kamu. Di sana kamu akan melihat Dia. Ingatlah akan apa yang aku katakan kepada kamu.

Gereja Kristian sejagat sepakat dalam hal kepercayaan ini seperti dalam Pengakuan Iman Rasuli yang berikut:

Yang disalibkan oleh Pontius Pilatus dan dikuburkan, dan pada hari ketiga, bangkit dari maut, yang terangkat ke syurga dan duduk di sebelah kanan Allah Bapa dan kelak Dia datang untuk menghakimi yang hidup dan yang mati.

Kepercayaan orang Kristian berdasarkan pada bukti-bukti sejarah yang kukuh, seperti manuskrip lama kitab Perjanjian Baru yang ditulis di antara tahun 30 hingga 200 T.M. Penulisan awal para pendiri gereja dan tulisan-tulisan bukan Kristian.

Misalnya, terdapat lebih daripada 5,000 naskhah lama Perjanjian Baru berbanding dengan lebih kurang 10 naskhah untuk tulisan sejarah lama seperti Herodotus, Caesar dan Tacitus.

A. Bukti dari Alkitab tentang Kematian Yesus Kristus

Peristiwa tentang kematian Yesus di kayu salib terdapat di dalam empat kitab Berita Baik yang ditulis oleh Matius, Markus, Lukas, dan Yohanes. Kesaksian daripada empat orang penulis kitab ini merupakan kesaksian peribadi yang jujur kerana mereka melihat setiap peristiwa dengan sudut pandangan sendiri. Menurut Taurat, sekiranya sesuatu peristiwa yang berlaku melibatkan 2 atau 3 orang sebagai saksi, hal ini cukup meneguhkan kebenaran peristiwa tersebut (Ulangan 17:6-7). Oleh sebab saksi peristiwa ini melibatkan empat orang penulis, maka kesaksian tentang kematian Yesus Kristus adalah benar dan sah.

Terdapat bukti yang kukuh dalam kesaksian Yohanes, salah seorang pengikut Yesus dalam Yohanes 19:24-25. Yohanes memberikan kesaksian bahawa selepas Yesus disalibkan, "Tetapi salah seorang askar menusuk rusuk Yesus dengan tombak, dan pada ketika itu juga keluarlah darah dan air" Yohanes 19:34. Hal ini sungguh menghairankan Yohanes sehingga dia terdorong untuk menulis bahawa "... orang yang telah melihat kejadian ini memberikan kesaksiannya, supaya kamu pun percaya. Kesaksiannya benar dan dia tahu bahawa apa yang dikatakannya benar" Yohanes 19:35.

Sekarang, para ahli sains dan doktor telah mendapati bahawa pengaliran darah dan air dari tubuh adalah akibat daripada penyaliban dan jantung yang hancur. Ketika Yohanes mencatat hal ini, dia tidak faham akan implikasinya tetapi sekarang, melalui kajian sains, kita telah mengetahui bahawa peristiwa itu adalah bukti kukuh bahawa Yesus benar-benar mati di kayu salib.

Sekiranya bukan Yesus yang disalibkan, tidak mungkin orang itu dapat mengeluarkan kata-kata yang penuh dengan kasih sayang seperti sifat semulajadi Yesus, misalnya dalam Lukas 23:34 Yesus berkata, "Ya Bapa, ampunilah mereka! Mereka tidak mengetahui apa yang dilakukan oleh mereka" dan perkataan "Sudah selesai". Semua ini membuktikan bahawa yang telah mati di kayu salib itu bukan orang lain, melainkan Yesus Kristus sendiri.

Kesaksian tambahan yang lain adalah sewaktu ketua askar mengesahkan bahawa Yesus sudah mati. Selepas itu, Yusuf dari Arimatea datang kepada Pontius Pilatus untuk meminta jenazah Yesus supaya dikebumikan. Permintaannya telah diluluskan. Sekiranya yang diturunkan dari kayu salib itu bukan Yesus, sudah tentu Yusuf enggan mengambilnya atau memberikan keterangan tentang kematian Yesus.

Bukti lain adalah orang Yahudi yang meminta kepada Pontius Pilatus agar kubur Yesus dijaga. Permintaan mereka dikabulkan. Seandainya yang dikebumikan itu bukan Yesus, sudah tentu orang Yahudi tidak mahu menjaga kubur itu. Hal ini berlaku kerana Yesus pernah berkata bahawa pada hari ketiga, Dia akan bangkit kembali dari antara orang mati.

Peristiwa penyaliban Yesus telah dinubuatkan oleh para nabi Allah beratus-ratus tahun sebelum nubuat itu menjadi kenyataan. Hal itu merupakan satu peristiwa nyata yang telah terjadi dalam sejarah manusia. Misalnya, Raja Daud dalam Mazmur 22 telah bernubuat tentang:
1. Seruan Yesus kepada Allah. Mazmur 22:2 banding Matius 27:46
2. Ejekan para penonton. Mazmur 22:9 banding Matius 27:43
3. Pakaian Yesus. Mazmur 22:19 banding Yohanes 19:24

Nabi Yesaya bukan sahaja bernubuat tentang penyaliban Yesus tetapi juga memberikan sebab-sebab mengapa hal itu terjadi. Yesus sendiri mengesahkan nubuat Nabi Yesaya dengan ucapan-Nya sendiri yang terdapat dalam Lukas 22:37 dan Lukas 23:34. Bandingkan dengan Yesaya 53:12.

B. Bukti dari Alkitab tentang Kebangkitan Yesus Kristus

1. Kubur yang kosong. Matius 28:6; Lukas 24:3

Tubuh Yesus telah dibalut bersama dengan seratus lebih paun minyak dan ramuan. Sebuah batu besar seberat satu setengah hingga dua tan menutup pintu kubur dan satu pasukan pengawal menjaga kubur-Nya, tetapi sesuatu hal berlaku. Selepas tiga hari, kubur itu menjadi kosong. Inilah satu fakta sejarah. Hanya kebangkitan Yesus dapat menjelaskan kejadian ini.

2. Yesus memperlihatkan diri-Nya kepada ramai orang selepas kebangkitan-Nya.

- Maria Magdalena (Markus 16:9)
- Perempuan-perempuan lain (Matius 28:9)
- Para pengikut-Nya (Yohanes 20:19,26; 21:1)
- 500 orang pengikut-Nya (1 Korintus 15:6)
- Sewaktu Paulus diselamatkan (Kisah 9:5, 1 Korintus 15:8)

Yesus berbual dengan mereka, makan dan minum bersama mereka, menunjukkan luka-luka-Nya dan dengan banyak tanda membuktikan bahawa Dia hidup. Pengalaman semua orang ini tidak mungkin hasil daripada fikiran atau khayalan mereka.

3. Para pengikut awal berkumpul pada hari pertama setiap minggu untuk beribadat kepada Allah. (Kisah 20:7)

Tentulah ada sebab-sebab baik yang mendorong para rasul Tuhan, yang merupakan orang Yahudi yang salih, untuk menggantikan hari Sabat dengan hari pertama untuk beribadat. Sebab utama adalah kebangkitan Yesus pada hari pertama (Markus 16:1-2). Hari ini menandakan kemenangan Yesus atas kematian, dosa dan Iblis. Rancangan penyelamatan untuk manusia sudah selesai. Penyelamatan ini memberikan rehat yang sempurna kepada mereka yang percaya.

4. Akhirnya, kita boleh percaya kepada kebangkitan Yesus apabila kita melihat perkembangan jemaah Tuhan.

Orang-orang Kristian awal tidak meragui kepercayaan mereka kepada Yesus walaupun mereka dianiaya, malah ada yang dibunuh. Jemaah Kristian tetap berkembang bukan kerana paksaan dari segi sosial, insentif kewangan atau kepentingan politik. Hal yang memberikan keyakinan iman kepada orang-orang Kristian awal adalah kebangkitan Yesus dari maut, pernyataan diri-Nya kepada saksi-saksi yang boleh dipercayai, dan hadirat Roh Kudus bersama dengan mereka yang melakukan perkara-perkara yang luar biasa.

C. Bukti-bukti daripada sumber-sumber bukan Kristian tentang kematian dan kebangkitan Yesus Kristus.

Contohnya seorang ahli sejarah Yahudi yang bernama Josephus di dalam bukunya yang bertajuk "Jewish Antiquities" yang telah ditulis di antara 90-95 T.M., mencatatkan tentang penyaliban Kristus dan kebangkitan Kristus.

Juga Tacitus, seorang ahli sejarah Roma yang menulis pada tahun 115 T.M., mengatakan nama Kristian ini berasal daripada Kristus yang telah disalibkan semasa pemerintahan Tiberius, oleh wakil kekuasaannya, Pilatus.

Apakah kepercayaan Islam tentang kematian dan kebangkitan Yesus Kristus?

Orang Islam tidak percaya bahawa Yesus Kristus telah disalibkan. Mereka menggunakan teks Al-Quran S.An Nisan 157 yang mengatakan: "Dan kerana ucapan mereka: 'Sesungguhnya kami telah membunuh Almasih Isa anak Maryam seorang Rasul Allah, padahal mereka tidak membunuhnya dan tidak menyalibnya, melainkan orang yang diserupakan dengan dia. Sesungguhnya orang-orang yang berselisih faham tentang (pembunuhan) Isa itu benar-benar dalam keragu-raguan tentang yang dibunuh."

Tetapi kebenaran ayat ini boleh dipertikaikan. Pembicara di sini cuba menjawab orang Yahudi bahawa mereka telah membunuh Isa Almasih anak Maryam.

Terdapat beberapa keterangan yang salah di dalam ayat ini. Pertama, orang Yahudi tidak mengakui Yesus sebagai Almasih (Penyelamat). Kedua, bukan orang Yahudi yang telah menyalibkan Dia tetapi askar-askar Roma.

Namun ada petikan-petikan dalam Al-Quran yang mengatakan sebaliknya. Menurut Al-Quran, wahyu telah diterima tentang ucapan Yesus, seperti yang berikut: "Selamatlah diriku ketika dilahirkan dan ketika mati dan ketika berbangkit kembali hidup" (Q.Maryam 33)

Teks aslinya: Wassalaamu'ala yauma wulidtu wa yauma amutu wa yauma ub'asyu hayya."

Dengan kata "ub'asyu hayya" (bangkit hidup kembali) adalah merupakan kehidupan yang nyata sesudah mengalami kematian (amutu) yang nyata.

Di dalam Surah Ali Imran 55:
"(Ingatlah) ketika Allah berfirman: 'Ya Isa, sesungguhnya Aku membuat engkau mati ('inni mutawaffeeka') dan meninggikan (darjat) engkau kepada ku."

Berdasarkan ayat-ayat Al-Quran ini, jelaslah bahawa Yesus memang telah mengalami kematian yang nyata walaupun kematian-Nya di kayu salib dinafikan oleh orang Islam.

Ada beberapa teori yang dikemukakan oleh orang Islam untuk menjelaskan bahawa Yesus tidak mati di kayu salib.

a) Teori Penggantian

Teori penggantian ini mengatakan bahawa Yudas Iskariot yang menyerupai Yesus telah disalibkan untuk mengganti tempat Yesus. Teori ini terdapat di dalam injil Barnabas dan injil ini adalah palsu. Teori ini tidak ada di dalam Al-Quran. Oleh itu teori tersebut hanya satu tekaan. Ada pihak yang mengatakan bahawa seseorang yang telah mati diambil untuk menggantikan tempat Yesus. Teori ini sangat bertentangan dengan bukti-bukti yang ada. Hal ini tidak mengambil kira tentang kubur yang kosong (Apa yang terjadi kepada mayat pengganti itu?) dan pernyataan diri Yesus yang disaksikan oleh beratus-ratus orang (Siapakah yang dilihat oleh saksi-saksi itu?) Teori ini juga membawa kesan bahawa Allah rela dengan sengajanya mengelirukan orang ramai dengan penipuan ini.

b) Teori Pengsan

Teori ini mengatakan Yesus diturunkan dari kayu salib dalam keadaan pengsan dan kesihatan-Nya pulih selepas itu. Walaupun teori ini dipopularkan oleh segolongan orang Islam, namun mereka berasal dari gerakan Ahmadiya yang dianggap oleh ramai orang Islam sebagai ajaran yang menyeleweng.

Menurut Mizra Ghulan Ahmad dari Qadian, "Yesus tidak mati atas kayu salib tetapi dibawa turun oleh para pengikut-Nya dalam keadaan pengsan dan telah sembuh selepas 40 hari oleh minyak bermukjizat bernama Parsi 'Marham-i-Isa.'" Menurut Ahmad, Yesus kemudian mengembara ke timur dalam satu misi ke Afghanistan dan Kashmir. Kemudian Yesus meninggal pada usia 120 tahun dan dikebumikan di Srinagar, ibu kota Kashmir. Teori ini dikutuk oleh orang Islam yang berpegang kepada ajaran Al-Quran.

Menurut Alkitab, Yesus mati selepas disalibkan (Kisah 2:23). Menurut penilaian askar-askar Yusuf dan Nikodemus, Yesus sudah mati di atas kayu salib. Yohanes 19:33-34, 38-40, Markus 15:43-46. Sekiranya Yesus pengsan sahaja, tidak mungkin:
- Dia dapat menahan kesejukan dalam kubur tanpa rawatan perubatan.
- Dia dapat melepaskan diri dari lilitan kain lenan yang begitu berat dan ketat pada badan-Nya tanpa mengoyakkannya (Lukas 24:12).
- Dia menggulingkan batu besar dari pintu kubur, mengalahkan satu pasukan pengawal dan melarikan diri tanpa dilihat.
- Dia berjalan 7 batu ke Emaus dalam keadaan lemah dan kaki yang tercedera.

Jika Yesus benar-benar bangun daripada keadaan pengsan, Dia menjadi pembohong dan penipu kerana tidak menghentikan para pengikut-Nya daripada mengajar bahawa Dia telah dibangkitkan daripada kematian.

Sukar juga untuk menjelaskan dengan memuaskan ayat-ayat Al-Quran yang menyebut tentang kematian Yesus. Jika benar Yesus tidak disalibkan, maka Al-Quran juga tidak memberikan penerangan jelas mengenai perkara yang berlaku kepada-Nya.

Kenapa kepercayaan akan kematian dan kebangkitan Yesus sangat penting bagi orang Kristian?

Rasul Petrus menulis di dalam 1 Petrus 2:24, "Kristus sendiri memikul dosa kita pada tubuh-Nya di kayu salib, supaya kita bebas daripada kuasa dosa, lalu hidup menurut kehendak Allah. Luka-luka Kristuslah yang menyembuhkan kamu."

Yesus disalibkan bukan kerana Dia melakukan dosa tetapi Dia telah menjadi korban untuk menyelamatkan kita semua daripada ikatan dosa. Dengan itu, kita mendapat hak atas hidup yang kekal di syurga.

1 Korintus 15:17-19 menyatakan,
"Jika Kristus tidak dibangkitkan daripada kematian, maka kepercayaan kamu itu khayalan belaka dan kamu masih dikuasai dosa. Hal itu juga bererti orang yang percaya kepada Kristus dan yang sudah mati, semuanya tidak mempunyai harapan. Jika harapan kita kepada Kristus terbatas kepada hidup kita di dunia ini sahaja, maka kitalah yang paling malang antara semua orang di dunia ini!"

Jika Yesus tetap mati, tentu sekarang ini masih ada kubur-Nya. Apakah gunanya orang Kristian percaya kepada orang mati? Apakah gunanya orang Kristian dibaptis atas nama orang mati? Apakah gunanya orang Kristian meminta syafaat daripada orang mati? Malah tidak masuk akal sekiranya sekarang ini orang Kristian menjadikan orang mati sebagai penyelamatnya, sedangkan si mati sendiri tidak selamat dan masih di dalam kubur.

Kerana kasih Allah, Yesus disalibkan bukan sekadar untuk mati sahaja, tetapi mati untuk hidup kembali dan hidup selama-lamanya sehingga kesudahan alam.

Kebangkitan Yesus, dan hidup kembali dari antara orang mati, bukanlah suatu khayalan, tetapi memang kenyataan yang dilihat dan disaksikan oleh ramai orang.

Kematian dan kebangkitan Yesus merupakan inti iman jemaah Kristian sedunia

Kita sekarang memiliki iman yang penuh pengharapan. Kita mempunyai Penyelamat yang hidup selama-lamanya. Kita memiliki iman yang berdasarkan kasih. Kita sudah mewarisi janji-janji Allah bersama dengan Kristus, menderita bersama-sama Dia dan akan dipermuliakan bersama-sama Dia (Roma 8:17).

Kerana itu, yakinlah bahawa kita sebagai pengikut Kristus akan dibangkitkan dari segala macam kematian.

Apakah Injil Barnabas sahih atau palsu?

Kuasa untuk Berubah