Benarkah Yesus Anak Allah?

Siapakah Yesus itu sebenarnya? Dahulu kala ada yang mengatakan Dia itu Yohanes Pembaptis, ada pula yang mengatakan Dia itu Nabi Elia. Sekarang ada yang mengatakan Yesus itu ahli agama atau orang suci ataupun pembina masyarakat. Ada pula yang mengatakan Dia seorang nabi dan mereka selalu mendakwa bahawa Yesus bukanlah Kristus Anak Allah. Tetapi sebagai umat Kristian, kami mengisytiharkan dengan tegas dan tanpa ragu-ragu bahawa Yesus ialah Anak Allah yang hidup dan kita juga mengakui Dia sebagai satu-satunya Penyelamat manusia.

Orang Kristian mengaku bahawa Yesus itu Anak Allah, bukan dengan iman yang membuta, tetapi berdasarkan banyak bukti. Antaranya adalah yang berikut:

Hanya terdapat empat pilihan untuk identiti Yesus Kristus, sama ada Dia lagenda, pembohong, orang gila ataupun Tuhan. Kemungkinan bahawa pernyataan Yesus hanya lagenda adalah tipis sekali. Masa tidak cukup untuk mengembangkan cerita lagenda bagi menggantikan apa yang benar-benar berlaku. Lebih-lebih lagi jika pernyataan Yesus itu adalah lagenda, para penentang agama Kristian pada zaman itu pasti mendakwa bahawa apa yang dinyatakan itu tidak pernah berlaku. Sebaliknya mereka bukan saja tidak menafikan bahawa Yesus sendiri membuat pernyataan itu, mereka memanggil-Nya pembohong.

1. Pengakuan Yesus yang tegas dan yakin

Yesus pernah bertanya kepada seorang buta yang telah disembuhkan-Nya, "Adakah engkau percaya kepada Anak Allah?" Orang itu menjawab dengan soalan, "Guru, siapakah Anak Allah itu supaya saya boleh percaya kepada Dia?" Selepas mendengar penjelasan Yesus, orang itu sujud menyembah Yesus.

Yesus telah berkali-kali menyebut diri-Nya Anak Allah. Terdapat 43 kali pengakuan Yesus yang ditulis di dalam Kitab Matius dan 114 kali di dalam Kitab Yohanes. Dia menyebut Allah itu Bapa, seperti anda menyebut ayah anda sendiri. Oleh sebab Yesus mengaku diri-Nya Anak Allah maka Dia disengsarakan dan dibunuh di atas kayu salib. Pada saat itu, Imam Agung bertanya kepada-Nya, "Demi nama Allah yang hidup, beritahu kamu! Adakah kamu Penyelamat yang diutus Allah, iaitu Anak Allah?" Yesus menjawab, "Demikianlah katamu. Tetapi Aku berkata kepada kamu semua: Tidak lama lagi kamu akan melihat Anak Manusia duduk di sebelah kanan Allah yang Maha Kuasa, serta datang di atas awan!" Lalu Imam Agung mengoyakkan jubahnya dan berkata, "Dia mengkufuri Allah! Kita tidak memerlukan saksi lagi. Kamu telah mendengar Dia mengkufuri Allah (Matius 26:63-65). Nyata sekali bahawa Imam Agung tidak percaya bahawa Yesus itu Anak Allah. Dia pula menganggap pengakuan Yesus itu adalah kata-kata penghinaan pengakuan Nama Allah. Itulah sebabnya Dia dijatuhkan hukuman mati. Namun dalam detik yang menentukan mati hidup-Nya itu, Yesus tetap berpegang teguh kepada pengakuan-Nya. Hal ini cukup membuktikan bahawa sesungguhnya Dia adalah Anak Allah.

Pendiri agama yang manapun tidak berani mengaku dirinya sebagai Anak Allah. Walaupun antaranya ada yang mempunyai gelaran ilah tetapi itu hanya gelaran yang diperolehnya daripada pendukung-pendukungnya. Para nabi hanya mengaku diri mereka sebagai nabi dan rasul Allah. Namun Yesus dengan tegas dan tanpa mempedulikan keselamatan jiwa-Nya mengaku diri-Nya Anak Allah. Soal keperibadian Yesus tidak lari daripada salah satu kemungkinan di bawah ini.
1. Sesungguhnya Dialah Anak Allah.
2. Dia pembohong.
3. Dia mungkin orang gila.

Yesus mengatakan bahawa Dialah Cahaya bagi dunia, Roti yang memberikan kehidupan, Jalan dan Kehidupan. Dia mengatakan bahawa orang tidak akan sampai kepada Allah kecuali melalui Dia. Dialah yang turun dari syurga, setara dengan Allah yang sudah ada sebelum alam semesta dijadikan. Daripada ucapan-ucapan itu, memang seakan-akan Dia mirip dengan orang gila kerana tiada orang lain yang mengucapkan kata-kata seperti itu, tetapi yang menghairankan adalah tiada orang lain yang mentertawakan Dia atau menduga-Nya sebagai orang gila. Bahkan ada ramai orang percaya bahawa Dia adalah Kristus. Andaikata Dia gila, para imam agung pun tidak akan mempedulikan kata-kata-Nya. Orang tidak akan berasa selesa dengan kata-kata orang gila dan tidak menyambutnya, tetapi kata-kata Yesus bukan sahaja mendapat sambutan malahan menggemparkan seluruh tanah Yahudi. Nyatalah bahawa Dia bukan orang gila yang suka menghamburkan kata-kata kosong.

Adakah Dia itu pembohong? Mustahil seorang pembohong dapat mencelikkan mata orang buta, menyembuhkan orang lumpuh, dan orang bisu, mentahirkan orang kusta dan membangkitkan orang mati. Penipu mungkin menipu orang beberapa waktu lamanya, tetapi mustahil dia dapat menipu sampai ribuan tahun lamanya. Mungkin dia dapat menipu sebahagian orang, tetapi tidak mungkin dia dapat menipu berjuta-juta orang yang terdiri daripada pelbagai suku bangsa dan bahasa. Seorang pembohong hanya menginginkan wang orang lain dan tamak akan harta mereka, tetapi Yesus sekali-kali tidak ada maksud mendapatkan keuntungan apapun daripada sesiapapun. Selama Dia di dunia, Dia hanya mengkhabarkan berita baik bagi kepentingan orang lain, menyelamatkan orang lain, memimpin mereka yang telah berpaling tadah daripada Allah, supaya kembali kepada-Nya, malah Yesus sangat dibenci serta dianiaya sehingga Dia mati di atas kayu salib. Tidak ada tujuan dan matlamat lain bagi Yesus selain daripada menyelamatkan manusia daripada hukuman maut akibat dosa mereka.

Seorang pembohong hanya menipu orang lain kerana ingin mengaut keuntungan daripada orang yang ditipunya. Tidak mungkin seorang penipu mahu mengorbankan kepentingan dirinya ataupun jiwanya untuk orang yang hendak ditipunya. Seorang penjahat tidak mungkin memberikan teladan baik seperti yang diajarkan oleh Yesus. Orang baik sekalipun tidak mahu menipu orang lain dengan mengorbankan dirinya. Kalau Dia itu bukan Anak Allah, tentulah Dia penipu yang tidak bermoral. Tetapi tiada seorangpun yang mencurigai-Nya dan berani mengatakan ataupun mengakui bahawa Yesus telah melakukan dosa tersebut. Oleh sebab itu, jika Dia bukan orang gila ataupun penipu, maka tentulah tanpa ragu lagi, Yesus sesungguhnya Anak Allah.

2. Kelahiran Yesus oleh seorang anak dara

Peristiwa kelahiran Yesus oleh seorang anak dara telah dinubuatkan oleh para nabi beberapa ratus tahun dahulu. Menurut Yesaya 7:14, Nabi Yesaya bernubuat, "Baiklah, Tuhan sendiri akan memberi tanda kepada tuanku: seorang gadis yang mengandung akan melahirkan seorang anak lelaki yang dinamakan 'Imanuel'." Nabi itu mengatakan bahawa anak itu akan disebut Penasihat Bijaksana, Allah Perkasa, Bapa Kekal dan Raja Damai. Pada umumnya, orang akan mempercayai bahawa bayi yang dilahirkan akan mempunyai seorang ibu dan bapa. Dalam hal nama pula, biasanya, seorang bapa akan mewariskan nama keturunannya kepada anak yang telah dilahirkan. Persoalan di sini adalah bagaimanakah seorang gadis yang masih dara boleh melahirkan seorang anak? Perkara ini melanggar konsep persenyawaan ovum dan sperma yang terdapat pada seorang wanita dan lelaki. Setiap bayi haruslah mempunyai kromosom bapanya supaya dia dapat mewarisi keturunan bapanya dan hidup sebagai seorang bayi yang normal. Namun Alkitab mengatakan Yesus dilahirkan melalui benih seorang perempuan (Kejadian 3:15) dan tidak mempunyai bapa jasmani.

Kenyataan telah membuktikan terjadinya keajaiban yang luar biasa. Pada sekitar dua ribu tahun yang lampau seorang anak dara yang bernama Maria telah melahirkan seorang bayi yang diberikan nama Yesus, Penyelamat manusia. Peristiwa ini bukan sahaja sukar dipercayai oleh anda dan saya. Maria sendiripun tidak percaya dan sukar untuk menerima kenyataan ini apabila malaikat Allah menyampaikan berita tersebut kepadanya. Maria berkata kepada malaikat itu, "Aku masih dara. Bagaimanakah perkara ini boleh berlaku?" (Lukas 1:34). Oleh sebab itu, tidak hairanlah kalau peristiwa ini merupakan suatu tanda ajaib bagi kita. Begitu juga pendapat-pendapat sesetengah orang yang mengatakan bahawa kelahiran bayi Maria itu disebabkan perbuatan zina. Tetapi jika difikirkan dengan bijaksana, pendapat-pendapat itu tidak boleh diterima.

Ada beberapa sebab mengapa pendapat-pendapat itu tidak boleh diterima. Pertama, menurut Taurat Yahudi pada masa itu, seorang perempuan yang disyaki berzina haruslah direjam dengan batu hingga mati. Namun, Maria tidak dijatuhkan hukuman tersebut. Orang Yahudi dan ahli keluarga Maria sendiripun tidak menjatuhkan hukuman tersebut ke atasnya. Yusuf yang disifatkan sebagai seorang Yahudi yang taat, bahkan dia sebagai bakal suami Mariapun tidak merejam dia atau menceraikannya, tetapi dengan segera bernikah dengan dia.

Kedua, berdasarkan pernyataan Maria sendiri sewaktu dia sedang mengandung bahawa:
1. Kandungannya adalah daripada Roh Allah.
2. Anak yang dilahirkan adalah suci dan disebut Anak Allah.
3. Bayi itu akan dinamakan Yesus kerana Dia akan menyelamatkan umat-Nya daripada dosa mereka. Matius 1:21, Lukas 1:31-32

Sekiranya Maria melahirkan seorang bayi perempuan dan bukannya seorang bayi lelaki, tidakkah dia akan ditertawakan dan diejek oleh orang ramai? Ataupun, setelah Yesus dilahirkan, Dia hanyalah seorang manusia biasa yang melakukan dosa seperti orang lain juga, maka tidakkah Yusuf sendiri akan mengejek dan mengatakan Dia seorang penipu? Ataupun, bayi itu benar-benar menjadi seorang pemuda yang sangat baik tetapi malangnya bukan Penyelamat manusia, hal itu juga akan menjadi sia-sia! Semua itu tidak berlaku kerana Allah menepati janji-Nya. Terpujilah Allah! Segalanya telah dibuktikan dalam masa Allah sendiri. Kandungan Maria ternyata seorang bayi lelaki. Apabila bayi itu membesar, segala perbuatan dan pekerjaan-Nya adalah tepat dan bersesuaian dengan apa yang telah dinubuatkan di dalam Alkitab. Tiada seorang pun yang dapat membantah kenyataan ini. Akhirnya, Yesus mati di atas kayu salib untuk menyelamatkan manusia daripada dosa mereka, seperti yang telah dirancangkan oleh Allah sendiri. Walau sedalam manapun perasaan malu seseorang itu, tidak mungkin dia akan berani mengatakan bahawa anak yang diperoleh dari perzinaan itu adalah Anak Allah. Dengan sebab-sebab inilah yang membuktikan bahawa Dia benar-benar Anak Allah.

Ketiga, jika dilihat daripada sudut emosi ataupun fikiran manusia, Maria sebagai seorang ibu jasmani Yesus, sewaktu menyaksikan dengan mata sendiri bagaimana anak kesayangannya diseksa di atas kayu salib, mampukah dia berdiri dengan tenang dan mengawal dirinya agar tidak merasa pilu? Meskipun pada masa itu hatinya hancur namun dia dapat mengawal perasaannya kerana dia tahu Yesus disalibkan kerana pengakuan-Nya yang mengatakaan bahawa Dia Anak Allah yang tidak mempunyai bapa jasmani. Sejak mula lagi, Maria tahu akan hal tersebut. Andaikata Maria tahu bahawa Yesus dilahirkan bukan daripada Roh Allah, sudah tentu dia akan menjerit meminta bapa Yesus datang menolong Dia. Sekiranya Maria malu untuk melakukan hal demikian, dia boleh menghadap para imam dan para penguasa Roma untuk memohon pengampunan bagi pihak Yesus supaya Dia dibebaskan daripada hukuman. Walaupun demikian, Maria tidak melakukan hal tersebut. Tidak dinafikan bahawa hati Maria hancur, tetapi dia tetap berdiam diri kerana dia tahu Yesus ialah Anak Allah, dan tujuan utamanya Dia diutus oleh Allah adalah untuk mati di kayu salib dan mengalahkan Iblis sehingga manusia boleh memperoleh anugerah penyelamatan daripada Allah.

Keempat, marilah kita meneliti kesaksian Doktor Lukas sendiri. Dia mengatakan bahawa Yesus dilahirkan oleh seorang anak dara dengan kuasa Roh Allah tanpa bapa jasmani. Hal ini diselidiki dengan cermat dan mengambil masa yang lama. Lukas seorang doktor yang hidup sezaman dengan Maria dan dia memang menyelidiki hal ini dengan sungguh-sungguh dalam jangka masa yang panjang. Sudah tentu penyelidikannya itu adalah tepat; lebih tepat daripada tekaan orang yang hidup dua ribu tahun kemudian. Keempat-empat alasan yang telah disebut itu boleh membuktikan kebenaran bahawa Yesus memang dilahirkan oleh seorang gadis yang masih dara.

3. Kebangkitan Yesus dari kematian

Lebih kurang dua ribu tahun yang lalu, satu peristiwa yang menggemparkan dan mengagumkan berlaku di dunia ini. Yesus yang telah mati disalib dan dikubur selama tiga hari, secara tiba-tiba bangkit dari kematian. Dia hidup semula dan menyatakan diri-Nya kepada para pengikut-Nya selama 40 hari. Kemudian Yesus diangkat ke syurga serta duduk di sebelah kanan Allah Bapa. Hal ini bukan sahaja sukar kita percayai, bahkan dikatakan bahawa para pengikut Yesus sendiripun tidak percaya pada mulanya. Salah seorang murid-Nya yang bernama Tomas berkata, "Kecuali aku melihat bekas paku pada tangan-Nya dan meletakkan tanganku pada rusuk-Nya, aku tidak mahu percaya." Kemudian Yesus menyatakan diri-Nya kepada Tomas dan menyuruh dia meletakkan tangannya pada rusuk-Nya. Tomas akhirnya percaya bahawa Yesus telah bangkit dari kubur (Yohanes 20:24-29).

Kebangkitan Yesus merupakan keistimewaan kekristianan. Dalam waktu 40 hari setelah Yesus bangkit, Dia pernah menyatakan diri-Nya kepada murid-murid-Nya. Mula-mula kepada Petrus, kemudian kepada dua belas orang rasul dan lima ratus orang pengikut-Nya, dan juga kepada Yakobus. Oleh sebab mereka telah melihat dengan mata sendiri bagaimana Yesus menyatakan diri-Nya kepada mereka, maka mereka benar-benar percaya bahawa kebangkitan Yesus adalah benar. Jika ada yang bertanya bagaimana dapat diketahui bahawa Yesus sudah bangkit dari kematian dan bagaimana dapat dibuktikan bahawa Dia masih hidup sehingga hari ini, maka setiap orang Kristian dapat memberikan bukti-bukti untuk menjawab pertanyaan itu.

Sekiranya Yesus tidak bangkit dari kematian, sudah tentu para pengikut-Nya tidak berani memberitakan kebangkitan-Nya tanpa menghiraukan hidup atau mati mereka. Ada di kalangan sejumlah orang yang mengatakan bahawa jenazah Yesus telah dicuri oleh orang lain. Alasan ini tidak boleh diterima. Para pengikut Yesus tidak mungkin mencuri mayat-Nya. Pada masa itu, kubur Yesus ditutup dengan batu besar dan dijaga dengan ketat oleh askar-askar Roma. Sekiranya mayat Yesus telah dicuri oleh musuh-musuh Yesus, sudah tentu mereka akan mengeluarkannya sebagai bukti ketika Petrus sedang memberitakan kebangkitan Yesus pada hari Pentakosta. Yesus pernah bernubuat tentang kebangkitan-Nya, maka sudah tentu musuh-musuh-Nya tidak akan melakukan hal sedemikian sehingga nubuat-Nya ditepati.

4. Ketiadaan dosa Yesus

Di dalam dunia ini, siapakah yang berani mengatakan dirinya tidak berdosa? Semua orang yang dianggap warak atau suci pun mengakui diri mereka berdosa. Hanya Yesus yang berani berterus-terang mengatakan diri-Nya tidak berdosa. Yesus berkata di dalam Yohanes 8:46 "Siapakah antara kamu dapat membuktikan bahawa Aku berdosa? Jika Aku mengatakan apa yang benar, mengapa kamu tidak percaya kepada-Ku?" Sebelum Yesus disalibkan, Dia pernah diadili sebanyak enam kali. Di kalangan mereka adalah para pemimpin masyarakat Yahudi, para penguasa Roma, para imam dan guru Taurat, tetapi tiada satupun yang dapat membuktikan dosa yang telah dilakukan oleh Yesus. Pilatus, gabenor kerajaan Roma berkata tiga kali, "Aku tidak mendapat alasan apapun untuk menghukum Dia." Pilatus berhasrat untuk membebaskan Yesus, tetapi kerana hasutan orang Yahudi dan teriakan mereka yang memohon agar Yesus disalibkan, Pilatus melihat bahawa kata-katanya sia-sia sahaja. Pilatus mengambil air lalu membasuh tangannya di hadapan orang ramai dan berkata, "Aku tidak bertanggungjawab terhadap kematian orang ini! Kamulah yang bertanggungjawab!" (Matius 27:24). Lalu dia menyerahkan Yesus untuk disalibkan.

Dosa apakah yang telah dilakukan oleh Yesus sehingga Dia harus disalibkan? Orang Yahudi menuduh-Nya dengan alasan-alasan yang tidak mempunyai bukti. Mereka memberikan satu alasan sahaja yang difikirkan mereka dapat mengalahkan Yesus, iaitu dengan menggunakan Taurat Musa. Mereka berkata, "Pada kami ada satu hukum (Taurat), dan menurut hukum itu, Yesus wajib mati, kerana Dia mengatakan diri-Nya Anak Allah." Hukum Empayar Roma terkenal sebagai hukum yang adil tetapi Pilatus sendiri mengakui bahawa Yesus tidak bersalah. Sesungguhnya, hal ini membuktikan bahawa Yesus sempurna dan tidak berdosa.

Seorang penyamun yang disalibkan bersama-sama Yesus pernah berkata, "Orang ini (Yesus) tidak mempunyai satu pun kesalahan." Penyamun itu mengenal Yesus sebagai Anak Allah dan meminta agar Yesus mengingati dia pada waktu Yesus diangkat kembali ke syurga. Kelakuan atau budi pekerti Yesus yang tidak berdosa itu merupakan dasar yang penting dalam kekristianan. Sekiranya budi pekerti-Nya sedikit tercemar, dasar kekristianan juga akan runtuh dan tidak berguna lagi. Golongan penentang Yesus berusaha mencari kekurangan-Nya dari segi budi pekerti tetapi mereka tidak berhasil. Semakin mereka menyelidiki sifat Yesus, semakin terserlah keunggulan akhlak-Nya sehingga ramai yang memuji dan menyembah Yesus. Dialah Penyelamat yang sejati. Jika Yesus sendiri orang berdosa, sudah pasti Dia tidak dapat menyelamatkan orang berdosa. Ketiadaan dosa Yesus adalah ciri-Nya sebagai Anak Allah yang sejati, bahkan merupakan syarat yang terpenting untuk seorang Penyelamat.

5. Penepatan nubuat tentang Yesus

Beberapa ratus tahun sebelum Yesus dilahirkan ke dunia, peristiwa yang menggemparkan ini telah ditulis di dalam kitab Perjanjian Lama. Dengan jelas dinyatakan bahawa daripada bangsa Yahudi akan lahir seorang Penyelamat. Segala sikap, pekerjaan serta kematian-Nya ditulis dengan terperinci. Satu demi satu, semua nubuat ditepati atas diri Yesus sendiri tanpa sedikitpun yang meleset.

Semua nubuat bermula dengan kelahiran-Nya oleh seorang anak dara, keturunan perempuan (Kejadian 3:15).
Dia dilahirkan daripada suku Yehuda (Kejadian 49:13).
Dia dikatakan masyhur dalam salasilah Daud (Yesaya 11:10).
Dia dilahirkan di kota Betlehem (Mikha 5:2).
Dia dihina serta dibenci (Yesaya 53:3).
Dia mengasihi umat-Nya yang menderita (Yesaya 49:13).
Dia dibenci tanpa alasan (Mazmur 69:4).
Dia dikelilingi oleh orang jahat (Mazmur 22:12,13).
Dia dihina dan dicaci oleh semua orang (Mazmur 22:7,8).
Dia digelar orang berdosa kerana menanggung dosa manusia, serta berdoa untuk mereka (Yesaya 53:12).
Jubah-Nya akan dibahagi-bahagikan (Mazmur 22:19).
Dia minum cuka yang diberikan oleh mereka (Mazmur 69:22).
Dia dikubur di dalam makam orang kaya (Yesaya 53:9).
Dia menyerahkan nyawa-Nya sebagai korban bagi pengampunan dosa semua manusia (Yesaya 53:10).
Dia akan disanjung tinggi (Yesaya 52:13).
Semua nubuat itu telah terlaksana atas diri Yesus.

Siapakah yang boleh melukis lakaran rupa seseorang yang belum dilahirkan dan apabila dia telah dilahirkan lakaran tersebut sama dengan rupa orang itu? Lihatlah pengasas-pengasas agama yang lain, siapakah yang boleh bernubuat bagi mereka sebelum mereka dilahirkan? Nubuat yang berkaitan dengan diri Yesus telah melibatkan 20 orang nabi. Mereka belum pernah melihat Yesus, tetapi berpandukan wahyu daripada Allah, mereka dapat menulis serta memberikan gambaran dengan jelas tentang Penyelamat yang akan dilahirkan. Mereka tidak dilahirkan dalam zaman atau generasi yang sama, malah mereka menetap di negeri yang berlainan. Tidak mungkin mereka saling membantu ketika menulis nubuat itu. Oleh itu, mereka bukanlah orang yang harus dicurigai.

Nubuat itu berlaku setelah Yesus dilahirkan kerana bahagian terakhir di dalam kitab Perjanjian Lama ditulis 400 tahun sebelum Yesus dilahirkan di kota Betlehem. Justeru itu, nabi-nabi di dalam Perjanjian Lama bersama dengan para rasul Perjanjian Baru tidak mungkin dapat bekerjasama. Oleh sebab itu, semua nubuat yang telah ditepati itu membuktikan bahawa Yesus benar-benar Anak Allah.

6. Sifat ilahi pada diri Yesus

Melalui hikmat dan kuasa Ilahi yang ada pada Yesus, kita dapat mengenal Dia sebagai Anak Allah yang sejati. Pertama, Dia memiliki kuasa untuk mengatur segala sesuatu. Di dalam kitab Yohanes fasal 2, tercatat peristiwa tentang satu perjamuan kahwin di kota Kana. Ketua majlis berasa bingung apabila mereka kehabisan wain untuk dihidangkan kepada para tetamu. Yesus melihat hal tersebut lalu melakukan mukjizat-Nya yang pertama, iaitu mengubah air biasa yang diisikan ke dalam tempayan, menjadi wain yang terbaik.

Dia juga berkuasa atas tumbuh-tumbuhan. Pada waktu Yesus dalam perjalanan kembali ke Yerusalem melalui Betania, Dia merasa lapar dan melihat sebatang pokok ara di pinggir jalan. Dia menghampiri pokok itu, tetapi tidak mendapat sebiji buah pun. Dia mendapati daun sahaja. Yesus berkata kepada pokok itu, "Hai pokok, engkau tidak akan berbuah lagi!" Dengan segera pokok ara itu layu (Matius 21:19).

Yesus juga berkuasa atas binatang dan ikan. Kejadian ini berlaku apabila para pemungut cukai Rumah Tuhan di Kapernaum bertanya, "Adakah guru kamu membayar cukai Rumah Tuhan?" Petrus datang kepada Yesus dan berbincang dengan Dia. Kemudian Yesus menyuruh Petrus pergi ke tasik untuk memancing ikan. Di dalam mulut ikan pertama yang ditangkapnya, dia mendapati sekeping duit syiling yang cukup untuk membayar cukai Rumah Tuhan (Matius 17:26-27).

Yesus memiliki kuasa untuk menyembuhkan semua jenis penyakit yang aneh. Di Galilea, Yesus terharu apabila melihat seorang pesakit kusta berlutut menyembah Dia dan memohon kesembuhan. Yesus menghulurkan tangan dan menyentuhnya, maka dengan serta-merta penyakitnya sembuh. Di Yerusalem, Dia pernah menyembuhkan seorang yang menderita kerana sakit lumpuh selama 38 tahun. Setiap hari orang ini menunggu berhampiran kolam Betesda, dengan harapan bahawa dia akan memperoleh kesembuhan daripada air kolam yang berkocak. Yesus sangat berbelas kasihan dengannya lalu berkata, "Bangunlah, angkatlah tikarmu dan berjalanlah." Pada masa itu juga orang itu mengangkat tikarnya dan berjalan (Yohanes 5:1-15).

Dalam kitab Markus 5:25-34, terdapat seorang wanita yang menderita penyakit pendarahan parah yang berkaitan dengan haidnya selama dua belas tahun. Dia sudah menghabiskan semua hartanya untuk membayar rawatan doktor, tetapi penyakitnya tetap tidak sembuh, malah keadaannya semakin teruk. Pada suatu hari, apabila dia mendengar bahawa Yesus akan datang ke tempat tinggalnya, dia pergi bertemu dengan Yesus. Di dalam keadaan yang penuh sesak dengan orang ramai, wanita ini berjaya menyentuh jubah Yesus kerana dia yakin dengan berbuat demikian dia tentu akan sembuh. Sungguh ajaib, kerana pendarahan wanita ini berhenti dan dia dapat merasakan bahawa dia benar-benar sudah sembuh.

Yesus dapat membangkitkan orang yang telah mati. Hal ini boleh dibuktikan di dalam kitab Markus 5:35-43. Peristiwa Yesus menghidupkan semula anak perempuan Yairus, seorang ketua rumah ibadat tempatan, dan juga anak tunggal seorang janda di kota Nain, serta Lazarus saudara Maria. Lazarus sudah mati bahkan telah dikubur selama beberapa hari. Tetapi oleh kuasa Ilahi yang ada pada Yesus, dia dihidupkan kembali. Rujuk Yohanes 11.

Yesus juga memiliki kuasa mengalahkan syaitan. Di dalam kitab Markus 1, Yesus telah mengusir roh jahat yang merasuk seorang di kota Kapernaum. Hal ini menyebabkan penduduk kota itu tercengang. Mereka saling bertanya antara satu sama lain tentang kejadian ini kerana mereka hairan dengan kuasa yang ada pada Yesus. Berita tentang Yesus tersebar dengan cepat ke seluruh wilayah Galilea.

7. Pengaruh istimewa Yesus di dunia

Yesus dilahirkan dan dibesarkan di kalangan keluarga yang miskin. Dia tidak pernah mendapat pendidikan akademik di sekolah. Dia tidak pernah berhijrah ke tempat-tempat yang jauh. Dia bukan seorang yang kaya dan berpangkat besar. Yesus meninggal dunia sewaktu berusia 33 tahun. Secara logik, Yesus tidak mungkin mempunyai pengaruh yang besar terhadap umat manusia. Tetapi sewaktu Dia dilahirkan, para gembala telah melihat petanda Ilahi. Beberapa orang ahli kaji bintang dari timur datang ke Yerusalem kerana ingin menyembah Yesus. Raja Herodes terkejut dan risau kerana dikatakan seorang raja telah dilahirkan. Semua orang menjadi cemas kerana Dia. Kelahiran-Nya diberitakan oleh para malaikat dari syurga. Semua ini membuktikan bahawa kelahiran Yesus mempunyai hubungan khas dengan semua bangsa di dunia.

Hari atau tahun kelahiran Yesus menjadi ukuran pengiraan tahun bagi kebanyakan negara di dunia. Sekiranya tahun ini tahun 2000, bererti sekarang sudah berlalu dua ribu tahun sejak kelahiran Yesus, iaitu Tahun Masihi.

Kita dapat menyaksikan pengaruh Yesus terhadap beberapa kepercayaan manusia di dunia. Sejak dua ribu tahun yang lalu sehingga hari ini, semakin ramai orang percaya kepada Yesus. Di kalangan tiga orang, terdapat satu orang yang percaya Yesus.

Sepanjang abad kedua puluh, tidak diketahui berapa banyak kerajaan atau negara dan tokoh yang sudah berlalu. Banyak ideologi telah lenyap tanpa jejak. Begitu juga para pahlawan serta orang ternama, sudah mula dilupakan. Tetapi hal ini tidak berlaku terhadap Yesus. Semakin lama, Dia mendapat penghargaan dan penghormatan daripada seluruh dunia bahkan di kalangan orang yang tidak percaya pun Dia diakui sebagai Yang Maha Agung dalam sejarah umat manusia. Hati Yesus yang penuh kasih, keadilan-Nya, kesucian-Nya, serta pengorbanan-Nya telah dipuji dan disanjung tinggi oleh semua orang yang mengenali Dia, khasnya di kalangan orang yang sungguh-sungguh percaya dan mengasihi Yesus. Ramai di kalangan mereka yang sanggup mengorbankan harta, kedudukan dan diri sendiri kerana kasih akan Yesus. Siapakah pemimpin yang mempunyai ramai pengikut yang benar-benar mencintai Tuhan mereka selain Yesus? Siapakah yang mempunyai pengaruh yang kuat selain Yesus?

Di mana pun nama Yesus diberitakan, maka perubahan pasti berlaku di tempat tersebut. Segala kepercayaan terhadap ilmu sihir atau tahayul dan adat-istiadat yang tidak baik sudah lenyap. Perkara ini diganti dengan usaha pembangunan dari segi sosial dan kesejahteraan manusia. Kenyataan pengaruh Kristian terhadap masyarakat seperti ini tidak dapat dinafikan oleh sesiapapun!

Beribu-ribu orang pemabuk, orang jalanan dan orang jahat yang tidak bermoral telah berubah cara hidup mereka kerana Yesus. Hati yang luka dan merana telah mendapat penghiburan daripada Yesus. Orang sakit juga disembuhkan dan yang miskin diberkati-Nya. Orang jahat sekalipun diubah-Nya menjadi baik. Alangkah besarnya pengaruh Yesus!

Apakah semua agama menuntun kepada Tuhan?
Kuasa untuk Berubah