Yesus: Peribadi yang Sempurna

Mengenali Yesus dan bagaimana anda boleh memperolehi kuasa untuk berubah

Ambillah masa untuk mempelajari:  Mengenal Kristus Secara Peribadi

Yesus dari Nasaret
Dia merupakan salah seorang daripada tokoh-tokoh agung dalam sejarah. Yesus dari Nasaret yang berdiri di tengah-tengah sejarah, telah membawa banyak perubahan -- dari sistem keadilan ke konsep masa -- Tetapi, siapakah Dia sebenarnya?

Alkitab memberitahu kita bahawa Yesus dilahirkan oleh seorang anak dara, menjalani kehidupan yang suci dan hanya mengajar beberapa tahun di Palestin sebelum Dia disalibkan di atas kayu salib Roma. Tiga hari selepas pengebumiannya, Dia bangkit dari kematian dan dilihat oleh sekurang-kurangnya 500 orang dan sejurus kemudian naik ke syurga.

Ketika berada di bumi, Yesus mengaku bahawa Dia ada kuasa untuk mengampunkan dosa, menghalau syaitan dan menentukan takdir manusia. Pendek kata, Dia mengaku bahawa Dia adalah Tuhan.

Bagi sesetengah orang, kisah Yesus sukar dipercayai. Yesus mungkin seorang tokoh agama yang penting, atau seorang guru moral yang agung, tetapi tidak mungkin Dia adalah Tuhan.

Pendirian ini nampaknya sah. Tetapi seperti apa yang dihuraikan oleh C.S. Lewis, bekas profesor universiti Oxford, dalam bukunya, Mere Christianity, "Seorang yang hanya manusia biasa dan mengatakan seperti yang dikatakan oleh Yesus, tentu bukan seorang guru moral yang agung; orang itu mungkin seorang gila ataupun dia mungkin syaitan dari neraka. Anda harus membuat pilihan. Sama ada Yesus benar-benar adalah Anak Tuhan, atau seorang gila atau lebih buruk daripada itu."

Lewis meneruskan lagi, "Anda boleh tidak menghiraukan-Nya kerana dia seorang bodoh, anda boleh meludahi-Nya dan membunuh-Nya kerana dia syaitan; atau anda boleh tersungkur di depan-Nya dan menggelar-Nya Tuhan. Tetapi janganlah membuat kesimpulan karut yang menghinakan, mengatakan Dia guru moral yang agung. Dia tidak beri alternatif itu kepada kita. Dia tidak bermaksud demikian."

Legenda?

Apakah pengakuan Yesus bahawa dia Tuhan hanyalah khayalan gereja awal? Sesuatu

 

yang ditambahkan ke dalam Alkitab oleh pengikut-pengikut Yesus? Idea ini sungguh menarik, tetapi kebanyakan cendekiawan percaya bahawa sekurang-kurangnya tiga daripada catatan kitab Injil (Matius, Markus, Lukas) adalah ditulis oleh mereka yang hidup dalam generasi Yesus.

Ramai saksi masih hidup dan boleh membangkang catatan abad pertama ini pada zaman itu. Tetapi tiada bukti langsung bahawa ini pernah berlaku.

Malahan, terdapat lebih banyak bukti tentang kebolehpercayaan tulisan Perjanjian Baru daripada sebarang 10 naskah tulisan klasik yang dikumpulkan bersama. Para ahli sejarah Yunani kuno, misalnya, terpaksa bergantung kepada hanya lapan manuskrip tentang Sejarah Thucydide Peperangan Peloponnesian. Manuskrip terawal ditulis hampir 1,300 tahun selepas manuskrip asal. Cendekiawan Alkitabiah pula mempunyai lebih daripada 20,000 manuskrip Perjanjian Baru, dan beberapa daripada manuskrip itu adalah kurang daripada 200 tahun selepas kelahiran Yesus.

Akhir sekali tidak dapat diragui bahawa orang-orang Kristian awal percaya dan menyembah salah seorang daripada mereka sebagai Tuhan dalam bentuk manusia. Hairannya, hal ini tidak pernah dipertikaikan secara serius. Jika Yesus tidak pernah mengaku bahawa dirinya Tuhan, mengapa sekelompok monoteis (mereka yang percaya pada satu Tuhan) menyembahnya.

Pembohong atau Orang Gila?

Jadi Yesus betul-betul mengaku bahawa dirinya adalah Tuhan. Sekarang apa pula?

Pendek kata, pengakuannya mungkin benar atau palsu. Jika pengakuan itu palsu, maka Dia adalah pembohong yang sengaja menipu orang. Atau, Dia adalah orang gila -- seorang dengan ikhlasnya percaya bahawa dirinya adalah Tuhan walaupun dia bukan demikian.

Jika kita menerima bahawa Yesus adalah pembohong, maknanya Dia jahat. Ini kerana Dia memberitahu orang bahawa mereka harus jujur tidak kira apa hal sekalipun, menjanjikan hidup sejati dan kekal tanpa kesedihan dan kesengsaraan, dan mengatakan bahawa Dia boleh mengampunkan dosa. Sementara itu, Dia hidup berpura-pura? Tidak mungkin.

Untuk pilihan orang gila pula, itu pun tidak mungkin. Kata-kata Yesus dan tingkah-laku-Nya tidak mencerminkan seorang gila. Pengkritik-Nya yang paling keras pun tidak dapat mencari sebarang kesilapan dalam ajarannya.

Tuhan?

Hanya pilihan ini saja tertinggal. Jika Yesus bukan pembohong atau orang gila, maka Dia adalah seperti yang Dia sendiri katakan -- Tuhan dalam bentuk manusia. Kesimpulan ini adalah hasil dari prinsip-prinsip logik. Lebih daripada itu, ini menjelaskan mengapa mukjizat dan hal yang tidak pernah berlaku terjadi dengan kehadiran Yesus.

Pertimbangkan si tempang yang tidak dapat berjalan selama 38 tahun disembuhkan selepas suatu perbualan dengan Yesus (Yohanes 5:1-13). Atau si buta yang mulai melihat selepas Yesus menyentuh matanya (Yohanes 9:1-15). Atau Lazarus yang telah mati selama tiga hari, tetapi dibangkitkan semula oleh Yesus (Yohanes 11:38-44).

Susah sekali untuk membayangkan apakah perasaan-Nya menyaksikan peristiwa-peristiwa yang mengagumkan ini, tetapi semua ini benar-benar berlaku. Bahkan musuh-musuh Yesus juga mengatakan demikian. Mereka melihat si tempang berjalan (Yohanes 5:9-10) dan menanyakan si buta tentang penglihatannya (Yohanes 9:8-34).

Tanpa memahami siapakah Yesus, sesetengah orang berkata dengan hairannya: "Bagaimana seorang yang berdosa boleh melakukan tanda-tanda mukjizat sebegini?" (Yohanes 9:16).

Tetapi bekas si buta mengetahui jawapan sebenarnya. "Jika orang ini bukan dari Tuhan, Dia tidak boleh melakukannya" (Yohanes 9:33).