Hidup Berubah

Memulakan hidup baru

Pernahkah anda ingin dapat memulakan hidup baru? Saya pernah. Saya anak ketiga antara empat orang adik-beradik. Walaupun nampaknya kami sebuah keluarga (di Kanada Timur) yang sederhana, kami bukan sempurna -- kami ada "rahsia tersembunyi". Apa yang kelihatan tidak semestinya membayangkan keadaan sebenarnya dalam keluarga saya. Dari kecil lagi, terdapat peristiwa-peristiwa dalam hidup saya yang menyebabkan saya sangat ingin untuk memulakan hidup baru.

Waktu remaja, kematian bapa saya yang tiba-tiba sangat menyedihkan saya. Hubungan kami begitu rapat. Kekosongan dalam hidup saya bertambah selepas kematiannya. Kerana hubungan saya dengan ibu semakin merosot, saya mulai memberontak dan ini membinasakan hidup saya.

Ketika berusia sembilan belas tahun, saya meninggalkan keluarga saya dan berpindah ke pantai Pasifik Kanada. Saya berazam untuk memulakan hidup baru. Dalam masa tiga bulan, saya bertemu dengan Tom. Dua bulan kemudian kami bersekedudukan. Dalam masa satu setengah tahun kami bersama, hidup kami penuh dengan masalah. Saya fikir perkahwinanlah satu-satunya jalan penyelesaian. Kami berkahwin pada tahun 1971, dan anak lelaki kami, Pernell, dilahirkan pada tahun 1973. Satu tahun kemudian, saya mengandung sekali lagi. Kami mengambil keputusan untuk menggugurkannya. Pada tahun 1976 anak perempuan saya, Sara, dilahirkan.

Waktu ini keluarga saya seakan-akan keluarga saya dahulu -- apa yang kelihatan tidak membayangkan keadaan sebenarnya. Sekali lagi, saya mahir menyembunyikan semua ketidaksempurnaan dan kesengsaraan yang saya sedang mengalami. Saya ingin sekali melupakan semua yang lepas. Ketika berusia tiga puluh tahun, saya menjadi seorang yang sangat bergantung kepada ubat-ubatan akibat sindrom lepas pengguguran yang menyebabkan saya terjunam ke dalam kesedihan sehingga mempertimbangkan membunuh diri.

Saya membawa kedua-dua anak saya melawat keluarga saya. Saya mempertimbangkan tinggal di sebelah timur untuk mencuba memulakan hidup baru. Saya tentu berbuat demikian kalau suami saya tidak menelefon saya beberapa kali untuk memujuk saya dan berjanji akan berubah. Saya tahu bahawa saya betul-betul mencintai dia dan ingin agar perkahwinan kami berjaya. Oleh itu, saya balik ke pangkuannya -- untuk memulakan hidup baru.

Pada tahun 1981, Jonathan dilahirkan. Suami saya diperhentikan kerja satu tahun kemudian, dan tidak dapat mencari apa-apa kerja. Oleh itu, saya mula bekerja. Tidak lama kemudian, dia langsung tidak mencari kerja lagi.

Hubungan kami bergolak seperti dahulu. Cara saya menghadapinya ialah menumpukan tenaga saya dalam kerjaya. Saya menikmati tanggungjawab yang setimpal dengan jawatan saya, ganjaran penghargaan, majlis jamuan dan hubungan luar perkahwinan. Tetapi semua ini ada pengorbanannya -- waktu pejabat yang panjang, rasa kesal pada waktu malam dan keinginan yang semakin bertambah. Saya jarang bersama dengan anak, tiada perhubungan dengan suami, menjalin hubungan tidak sihat di luar perkahwinan, dan kerjaya yang berjaya apabila saya tidak mabuk.

Lima tahun kemudian, kawan lama saya Barb berkata kepada saya, "Marilyn, sejak saya mengenali kamu, kamu hanya mahu menjadi seorang ibu dan isteri. Jika kamu tidak berubah sekarang, kamu akan pulang rumah satu hari dan mendapati anak-anakmu sudah dewasa tanpa kamu."

Saya tahu bahawa apa yang dia katakan itu betul. Saya fikirkan satu penyelesaian: jika saya membawa anak-anak meninggalkan suami saya, mengakhiri semua hubungan yang tidak sihat, kurang meminum dan kurangkan masa kerja, mungkin saya boleh adakan satu permulaan baru. Pada October 1987, saya pun berbuat demikian.

Cabaran pertama dan yang terbesar bagi saya sebagai seorang ibu tunggal ialah berusaha mendapat hak menjaga ketiga-tiga anak saya. Oleh kerana saya telah bekerja selama lima tahun di luar rumah, saya tidak boleh menganggap bahawa saya akan diberikan hak ini. Semasa saya bertolak ke mahkamah hari itu, saya merasa takut bahawa saya akan kehilangan anak-anak saya. Sebelum saya keluar dari pejabat, pengurus saya, Jim, berdoa untuk saya. Sebelum itu, saya pernah meminta nasihat daripadanya kerana hidupnya jauh berbeza dari saya!

Jim tidak merokok, minum, atau menyumpah. Dia sabar, tenang, penuh hikmat dalam perniagaan dan keluarga, dan setia kepada isterinya. Hidupnya terkawal, sementara hidup saya kucar-kacir.

Di mahkamah, peguam saya menasihatkan saya bahawa peluang saya lebih besar jika saya meminta hak penjagaan bersama. Tetapi ketika peguam suami saya memberi deskripsi hidup saya selama lima tahun kebelakangan ini, saya merasa hakim tidak akan fikir saya sesuai menjadi seorang ibu. Pada ketika itu, saya percaya impian saya untuk menjadi ibu tidak akan menjadi kenyataan. Tetapi, beberapa saat kemudian, saya hairan mendapat tahu bahawa hakim itu memberikan hak penjagaan bersama kepada saya dan suami saya.

Akhirnya saya tahu bahawa Tuhan wujud, dan Dia mengasihi saya, seperti apa yang Jim beritahu saya. Tuhan telah bertindak bagi pihak saya. Saya berlari keluar dari mahkamah dan menelefon Jim. Dengan gembiranya saya memberitahu Jim bahawa saya mahu mengenali lebih mendalam lagi tentang Tuhannya.

Dalam beberapa minggu selanjutnya, Jim berkongsi dengan saya tentang Yesus. Kadang-kala saya akan datang ke pejabat dalam keadaan pening kerana terlalu banyak minum. Jim akan memberitahu saya dengan sabarnya bahawa sebabnya saya tidak mengalami kasih Tuhan dalam hidup saya adalah kerana saya tetap mahu memilih jalan saya sendiri, dan itu merupakan dosa.

Menjelang Hari Krimas tahun itu, masalah-masalah saya kekal dalam fikiran saya. Bagi kali pertamanya, saya akan merayakan Krismas seorang diri, tanpa anak-anak saya. Pada Disember 22, ketika saya membawa Jim ke lapangan kapalterbang, dia berkata kepada saya, "Kamu tidak ada apa-apa yang boleh dihilangkan lagi. Setelah menguasai hidupmu selama tiga puluh tujuh tahun, kamu kini tidak ada rumah, suami atau anak. Yang kamu ada hanya kereta dan kerjamu -- itu pun kerana saya bos kamu. Jadi, mengapa kamu tidak menyerahkan hidupmu kepada Tuhan dan betul-betul memulakan hidup baru?"

Ini bukan pertama kalinya Jim memberikan cadangan ini. Respons awal saya merupakan kekecewaan: "Ya, itu mungkin baik bagi kamu, tetapi tidak akan membawa apa-apa perubahan dalam hidup saya." Jim sekali lagi menanyakan saya sama ada saya mahu berdoa bersamanya. Jadi saya berdoa sepatah demi sepatah mengikut Jim, mengundang Yesus memasuki dan menguasai hidup saya.

Pada ketika itu, saya tidak mengharapkan apa-apa perubahan, apalagi suatu permulaan baru. Tetapi, sesuatu yang saya tidak boleh jelaskan berlaku. Buat pertama kalinya dalam hidup saya -- kekosongan di dalam jiwa saya itu hilang begitu saja. Apabila Jim memberitahu saya bahawa semua dosa saya telah diampunkan, saya tahu apa yang dia katakan itu benar. Saya merasa sungguh bebas. Saya tidak tahu mengapa, tetapi saya pasti bahawa saya benar-benar dapat memulakan hidup baru.

Dalam masa sepuluh tahun sejak malam itu, saya menghadapi banyak masalah. Anak saya, Jonathan, menghidap penyakit barah. Ketika dia melalui rawatan, ibu saya tiba-tiba meninggal. Kedua-dua anak saya yang lebih tua pergi mengembara, dan mengalami beberapa pengalaman yang sungguh menakutkan. Tetapi, hidup saya berubah secara beransur-ansur.

Tabiat lama saya yang suka merokok dan meminum, dan hubungan yang tidak sihat semuanya beransur hilang. Saya mendapati jika saya setia membaca Alkitab dan berdoa, damai sejahtera yang tidak boleh dijelaskan bersama saya setiap hari and memberikan saya kekuatan untuk menghadapi setiap situasi dalam hidup. Saya tidak dapat membayangkan bagaimana saya boleh hidup bersendirian jika saya tidak ada kepastian bahawa Tuhan yang Maha Kuasa itu berkuasa dan segala hal yang berlaku adalah di bawah kuasa-Nya. Dengan jujurnya saya dapat berkata bahawa saya memiliki hidup baru, dan Tuhanlah yang memberikannya kepada saya.


Perhatikan hidup anda. Bagaimana anda menggambarkannya? Bahagia dan berpuas hati? Terburu-buru? Menarik? Tertekan? Maju ke depan? Teragak-agak? Ada masanya kebanyakan kita mengalami  semua hal di atas. Ada perkara yang kita harap-harap dapat lakukan satu hari nanti, ada juga perkara yang kita ingin lupakan saja. Alkitab berkata bahawa Yesus datang untuk membuat semua baru. Bagaimana kiranya cara hidup anda seandainya anda boleh memulakan hidup baru?

 

Hidup dengan harapan

 

Jika anda sedang mencari kedamaian, ada suatu cara untuk mengimbangkan hidup anda. Tiada seorangpun yang sempurna, atau memiliki hidup yang sempurna. Tetapi setiap kita berpeluang untuk mengalami kasih kurnia yang sempurna melalui perhubungan peribadi dengan Tuhan melalui Anak-Nya, Yesus Kristus.

 

Anda boleh menerima Yesus sekarang juga dengan iman melalui doa. Berdoa adalah berbicara dengan Tuhan. Tuhan mengetahui isi hatimu. Dia tidak begitu memerhatikan kata-kata anda, sebaliknya sikap hati andalah yang lebih penting. Berikut merupakan satu cadangan doa:

 

Tuhan Yesus, Saya ingin mengenali Engkau secara peribadi. Terima kasih kerana mati di kayu salib untuk mengampunkan dosa-dosa saya. Saya membuka pintu hati saya dan mengundang Engkau masuk dan menjadi Penyelamat dan Tuhan saya. Kuasailah hidup saya. Terima kasih kerana mengampunkan dosa-dosa saya dan memberikan saya hidup yang kekal. Bentuklah saya sesuai dengan kehendak-Mu.

 

Adakah doa ini menyatakan keinginan hati anda? Anda boleh berdoa sekarang juga, dan Yesus Kristus akan masuk ke dalam hidup anda  seperti yang Dia telah janjikan.

 

Adakah hidup sebegini apa yang anda inginkan?

 

Jika anda telah mengundang Yesus masuk ke dalam hidup anda, bersyukurlah selalu kepada Tuhan kerana Dia berada di dalam hidup anda. Dia tidak akan meninggalkan anda. Anda juga memiliki hidup yang kekal. Ketika anda belajar lebih mendalam mengenai hubungan anda dengan Tuhan, dan betapa Dia mengasihi anda, anda akan hidup penuh bahagia.

                                         

          Jika anda ada soalan yang perlu dijawab dahulu, sila klik di sini.